I made this widget at MyFlashFetish.com.

"Waktu kamu lahir, kamu menangis dan orang-orang di sekelilingmu tersenyum. Jalanilah hidupmu sehingga pada waktu kamu meninggal, kamu tersenyum dan orang-orang di sekelilingmu menangis" "Semoga kamu mendapat cukup kebahagiaan untuk membuat kamu bahagia, cukup cubaan untuk membuat kamu kuat, cukup penderitaan untuk membuat kamu menjadi manusia yang sesungguhnya, dan cukup harapan untuk membuat kamu positif terhadap kehidupan"

Thursday, December 17, 2009

**LAGENDA**

***MAHSURI**


Legenda Mahsuri masih menjadi bualan hangat walaupun telah berkurun lamanya kisahnya berlalu. Mahsuri hanyalah anak kepada pasangan suami isteri yang miskin. Memang menjadi lumrah hidup setiap pasangan yang telah berkahwin pasti inginkan cahaya mata. Kedatangan Mahsuri menambah lagi seri keluarga itu. Alkisahnya antara semua kanak-kanak yang lahir sezaman dengannya, Mahsuri merupakan yang paling comel di Langkawi hingga menjadi bualan hangat.

Anak-anak umpama kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Itulah yang dilakukan oleh semua ibu bapa tidak ketinggalan juga ibu bapa Mahsuri. Bukan hanya paras rupa yang menjadi bualan malahan budi bahasa serta sopan santunnya sering menjadi buah mulut penduduk Langkawi. Pantang melihat kesusahan pasti dia akan membantu. Ibu bapanya berasa bangga dengan Mahsuri kerana dia menjadi orang yang berguna.

Sudah menjadi kemestian bagi setiap makhluk untuk berpasangan, begitu juga dengan Mahsuri. Sudah ramai jejaka-jejaka yang masuk meminang tetapi semuanya berakhir dengan kekecewaan. Pada suatu hari ada seorang jejaka yang masuk meminang dan pinangannya diterima oleh Mahsuri. Dikatakan bahawa jejaka itu merupakan seorang yang berjawatan tinggi dalam Kerajaan Langkawi. Maka musnahlah harapan semua jejaka-jejaka yang ingin memperisterikan Mahsuri.

Maka majlis perkahwinan mereka pun berlangsung dengan meriahnya. Pasangan itu hidup bahagia dan dikurniakan seorang cahaya mata untuk suatu ketika. Budi bahasa yang ditunjukkan oleh Mahsuri menjadi buah mulut penduduk di Langkawi. Ini menimbulkan perasaan iri hati Wan Mahora, isteri seorang yang berjawatan tinggi di Langkawi. Oleh itu dia menimbulkan fitnah ke atas Mahsuri dengan mengatakan dia melakukan hubungan dengan lelaki lain semasa ketiadaan suaminya.

Ini menyebabkan dia dikenakan hukuman sula tanpa usul periksa. Penduduk setempat berasa kasihan telah mengumpulkan wang emas dan harta mereka untuk menebus Mahsuri tetapi tidak diendahkan. Alkisahnya ketika tiba waktu hukumannya tiada satu pun senjata yang dapat menembusi kulit Mahsuri. Mahsuri dibiarkan terikat di batang pokok selama beberapa hari dan merana kesakitan. Disebabkan tidak dapat menanggung kesakitannya akhirnya dia memberitahu bagaimana hendak membunuhnya. Satu saja alat yang dapat menembusi kulitnya iaitu pisau ayahnya.

Maka setelah mendapatkan pisau itu hukuman terus dijalankan. Menurut sejarahnya sejurus selepas pisau itu menembusi tubuh Mahsuri darah putih terus mengalir keluar dan hilang di udara. Kepulangan suaminya disambut berita kesedihan kematian Mahsuri ditambah pula dengan kematian isterinya itu disebabkan oleh fitnah orang. Kesedihan ini menyebabkan suami Mahsuri berpindah dari Langkawi bersama-sama anak tunggal mereka Wan Hakim kerana tidak dapat menerima kenyataan isterinya dibunuh kerana fitnah orang.

Sebelum kematian Mahsuri, dia telah menyumpah tanah Langkawi supaya berada dalam kesengsaraan dan hanya berakhir selepas tujuh keturunannya. Menurut sejarahwan, keturunan yang ketujuh itu bernama Wan Aishah dan kini menetap di Thailand dan berumur 23 tahun. Sejarahwan mengatakan sepanjang Langkawi berada dalam sumpahan itu, Langkawi berada dalam huru hara dan mengalami perpecahan. Hanya selepas lahirnya keturunan ke tujuh barulah Langkawi menjadi maju dan menjadi tumpuan pelancong serta diwartakan sebagai pulau bebas cukai.


**PUTERI GUNUNG LEDANG**




Puteri Legenda. Dia dipercayai berketurunan jin dan tinggal di puncak Gunung Ledang, Johor. Kisah puteri ini telah menjadi legenda bagi masyarakat Melayu di Malaysia. Cerita tentangnya terdapat dalam bentuk lisan yang disampaikan di kalangan masyarakat setempat dalam bentuk tulisan seperti dalam Sejarah Melayu. Orang Melayu percaya puteri ini wujud, oleh itu pertuturan dan tingkah laku hendaklah dijaga jika mahu mendaki gunung tersebut. Jika tidak dipatuhi,dipercayai orang itu akan ditimpa sesuatu bencana.
Sumber Klasik Melayu turut mengisahkan Sultan Melaka, Sultan Mahmud, yang kematian isterinya telah memerintahkan beberapa orang pembesarnya iaitu Laksamana Hang Tuah, Sang Setia dan Tun Mamat meminang Puteri Gunung Ledang walaupun baginda mengetahui bahawa puteri itu bukanlah manusia biasa. Perjalanan ke puncak Gunung Ledang amat sukar kerana hutan tebal, angin kencang serta puncaknya tinggi. Tun Mamat serta dua orang pengiringnya akhirnya berjaya sampai ke puncak gunung tersebut. Semasa berada disana, Tun Mamat dikatakan telah masuk ke sebuah taman yang dipenuhi dengan pelbagai bunga-bungaan serta buah-buahan. Terdapat juga burung yang bersiul-siulan dan bersyair, bunyi seperti orang berseloka dan bergurindam, limau yang mengkar berseloka, anggerik mengilai, delima tersenyum dan mawar berpantun. Pantun-pantun itu pula mengandungi sindiran terhadap Sultan Melaka.
Puteri Gunung Ledang mengenakan syarat dengan meminta hantaran mas kahwin yang sukar dipenuhi seperti membina jambatan emas dan perak, merentangi Melaka dan Gunung Ledang, hati nyamuk tujuh dulang, hati kuman, tujuh dulang, air mata setempayan, air pinang muda setempayan dan semangkuk darah baginda dan darah Raja Muda. Semua syarat ini sanggup dipenuhi oleh Sultan Mahmud kecuali semangkuk darahnya dan darah Raja Muda.
Tiada sumber bertulis atau lisan yang menerangkan tentang Puteri Gunung Ledang. Dalam Sejarah Melayu, hanya disebut ketika Tun Mamat sampai di dalam taman semasa meminang Puteri Gunung Ledang, dia terlihat sebuah balai, perkakasnya diperbuat daripada tulang, manakala atapnya daripada rambut. Di atas balai itu duduk seorang perempuan tua yang dihadap oleh empat orang perempuan muda. Mengikut Sejarah Melayu perempuan tua itu ialah Dang Raya, ketua dayang Puteri Gunung Ledang. Disebut juga dalam Sejarah Melayu bahawa perempuan kedua yang bertemu dengan Tun Mamat ialah Puteri Gunung Ledang menyamar sebagai perempuan tua bongkok tiga.
Bagaimanapun, kisah Puteri Gunung Ledang menjadi cerita dongeng dan masih popular dikalangan masyarakat setempat dan telah difilemkan. Gunung Ledang telah dijadikan tempat tarikan pelancong kerana keindahan alam semula jadi dan dongengnya..




No comments:

Post a Comment

ulaskan komitmen anda disini...terima kasih..